Masjid Tepian Putra (MTP) telah menjadi masjid pilihan di Bandar Kuantan dengan tumpuan pengunjung atau jemaah yang datang dari dalam dan luar daerah Kuantan bahkan luar dari negeri Pahang.
Kedudukan masjid yang strategik di tengah pusat bandar Kuantan di mana dikelilingi pusat-pusat komersial, pejabat-pejabat kerajaan serta hotel yang berdekatan menjadi faktor sentiasa dihadiri oleh jemaah. Jemaah bukan sahaja hadir untuk mendirikan solat, malah menghadiri program seperti kuliah Dhuha, Zohor dan Maghrib yang dilaksanakan hampir setiap hari termasuklah kelas mengaji yang turut juga disediakan.
Setiap hujung minggu juga diadakan kelas khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU). Oleh itu, keselesaan jemaah masjid amatlah kami titikberatkan supaya para jemaah dan pengunjung dapat melaksanakan ibadah dengan khusyuk dan tawaduk. Untuk makluman Tuan, ruang solat yang sedia ada amatlah sempit dan tidak selesa bagi menampung para jemaah yang ramai terutamanya pada hari Jumaat.
Selain itu, terdapat juga beberapa kemudahan yang mengalami kerosakan kritikal seperti retak dan bocor. Malah sistem pendawaian elektrik di masjid kerap mengalami trip yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung. Keselesaan dan keselamatan jemaah adalah keutamaan kami.